Akta Anti Lompat Parti sekat ahli politik belot, tolak amalan rasuah

AWAL bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat sebelum ia tamat pada 24 Mac ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan pembangkang mendapat jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pindaan Perlembagaan terkait dengan RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini turut meminta RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat secepat mungkin kerana amalan lompat parti bukan sahaja tidak adil kepada rakyat, tetapi terhadap parti politik yang berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain dalam pilihan raya umum (PRU).

Dalam perkara ini, hasrat mewujudkan Akta Anti Lompat Parti pernah menjadi tajuk perbincangan dunia politik negara seawal 1978 di negara ini.

Perbahasan mengenainya timbul semula pada 1992 berikutan tuntutan mahkamah dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Nordin Salleh terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan peruntukan menghalang ADUN bertukar parti.

Pada 3 April 1992, Mahkamah Agung memutuskan keputusan DUN Kelantan diterajui PAS meluluskan enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah memutuskan undang-undang sedemikian melanggar Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan kerana ia menjejaskan hak untuk kebebasan berpersatuan.

Fahaman umum terhadap keputusan kes itu ialah tindakan ahli politik melompat parti adalah hak dijamin Perlembagaan dan tidak boleh dinafikan.

Namun hakikatnya, percanggahan berlaku disebabkan DUN bertindak di luar kuasa perundangan. Ini kerana kebebasan asasi hanya boleh dibataskan oleh undang-undang Persekutuan dan kuasa membuat undang-undang terletak di Parlimen.

Ini bermakna hak berpersatuan seperti dinyatakan dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan adalah hak terhad dan seperti dinyatakan dalam Perkara 10 (2) iaitu boleh dibataskan Parlimen atas sebab perlu dan wajar bagi kepentingan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau moraliti.

Batasan dikenakan terhadap kebebasan ini bagaimanapun perlu munasabah, berkadaran dan tidak secara langsung menafikan pelaksanaan hak dijamin Perlembagaan.

Oleh itu sekatan terhadap kebebasan berpersatuan perlu mengimbangkan antara kepentingan cuba dilindungi dan hak individu.

Dalam isu lompat parti ini, ia berpunca apabila landskap politik negara mengalami perubahan besar pada 2018, selepas pemerintahan negara beralih daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Kejatuhan mengejut BN dan kemenangan tidak diduga PH, bukan hanya menggambarkan kesuburan demokrasi, tetapi juga menyerlahkan tingkah laku ahli politik berpaksikan kuasa dan cemas apabila kehilangan kuasa serta kedudukan.

Keghairahan untuk kekal berkuasa menyebabkan kerajaan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tumbang pada Februari 2020 dan diganti dengan kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).

Ironinya kerajaan ini dibentuk bukan melalui pilihan raya namun percaturan politik licik sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong mencari penyelesaian di luar norma biasa dalam proses pembentukan kerajaan Pusat.

Di pihak rakyat pula, majoriti berasakan dikhianati kerana keanggotaan kerajaan diisi oleh mereka yang berpaling tadah daripada parti asal mereka wakili ketika dipilih pada PRU-14.

Berleluasanya perbuatan melompat parti ini terserlah apabila dianggarkan 36 daripada 222 Ahli Parlimen melompat parti di antara 2019-2021.

Akibat daripada perbuatan bertukar parti ini, luntur rasa hormat rakyat terhadap institusi Parlimen kerana kehilangan kepercayaan terhadap Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya.

Hilangnya keyakinan terhadap Ahli Parlimen yang sebahagiannya adalah Jemaah Menteri, menjejaskan pentadbiran negara dan negeri di Malaysia.

Keadaan ini mengancam kepentingan Persekutuan dan mana-mana bahagiannya, kerana rakyat berasa ragu terhadap kejujuran serta kewibawaan wakil rakyat yang mereka pilih.

Kehilangan kepercayaan ini menyebabkan dasar dibuat kerajaan sukar diterima dan menjadi momokan. Akibatnya, kelancaran pentadbiran negara tergugat dan pihak tidak bertanggungjawab dengan mudah mengambil kesempatan.

Ini terserlah apabila banyak usaha kerajaan disabotaj, penyebaran berita palsu di media sosial dan rapuhnya perpaduan kaum.

Dalam sistem pemerintahan berdasarkan kepada pembentukan kerajaan berteraskan bilangan kerusi Parlimen, undang-undang menghalang pertukaran parti penting kerana keputusan pilihan raya boleh digagalkan akibat tindakan melompat parti.

Perbuatan melompat parti ini membawa ketidakstabilan dan boleh menggugat kepentingan Persekutuan. Selain itu, tindakan melompat parti juga boleh menggugat ketenteraman awam.

Menjadi rahsia terbuka yang perbuatan melompat parti ini didorong oleh sogokan dalam bentuk wang atau jawatan. Sogokan atau rasuah menggugat ketenteraman awam terutama apabila berlaku dalam kalangan pemimpin.

Gambaran diberi adalah pemimpin politik menerima wang atau ditawarkan jawatan untuk mendapatkan sesuatu dibolehkan. Keadaan ini akan menjurus kepada moraliti rendah ahli politik.

Walaupun boleh dihujah moraliti bukan sesuai dikawal undang-undang, namun jika aspek moraliti berkait dengan nilai kebertanggungjawaban, undang-undang perlu masuk campur.

Perlu difahami ahli Parlimen dipilih bertanggungjawab kepada Parlimen, parti politik yang diwakili ketika dipilih dan juga pengundi yang memilih.

Walaupun, tidak terdapat perjanjian bertulis, namun dari sudut etika dan moral mereka perlu kekal dalam parti ditandingi sehingga tamat penggal perkhidmatan atau sebaiknya mengosongkan kerusi jika berhasrat bertukar parti.

Dalam konteks hari ini, tindakan melompat parti mustahak untuk dikawal oleh undang-undang kerana keperluan terhadap kawalan mengatasi kebebasan asasi.

Walaupun dikatakan undang-undang anti lompat parti melanggar kebebasan asasi, kebebasan diberikan itu bukan bersifat mutlak kerana yang penting adalah menjamin keselamatan negara dan memastikan pentadbiran kerajaan lancar.

Dalam konteks suasana semasa di Malaysia, undang-undang anti lompat parti atau untuk lebih tegas lagi undang-undang anti pembelotan (defection law) adalah satu keperluan mendesak untuk mengawal tata kelakuan ahli politik dipilih atau bakal dipilih sebagai wakil rakyat.

Undang-undang ini perlu kekal sehingga mereka kembali tertib dan menghormati kepercayaan diberi pengundi.

Perlu diingatkan, wakil rakyat dipilih menjalankan amanah pengundi, oleh itu jika tidak lagi mempunyai upaya berkhidmat berteras janji dibuat ketika mewakili parti ditandingi, mereka perlu meletakkan jawatan.

Akta ini juga mengelakkan rasuah dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih. Wang sogokan diberikan atau ditawarkan jawatan tertentu untuk menggalakkan pertukaran parti.

Justeru, undang-undang perlu digunakan bagi mengelakkan amalan rasuah, menjaga kesucian Parlimen dan DUN serta memelihara kepentingan kedaulatan negara.

Malaysia juga bukan negara yang asing jika undang-undang ini diluluskan kerana dianggarkan 41 daripada 193 negara mempunyai undang-undang sedemikian.

Penulis adalah Penasihat Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM)

Akta Anti Lompat Parti sekat ahli politik belot, tolak amalan rasuah, BH Online diambil dari https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/03/935868/akta-anti-lompat-parti-sekat-ahli-politik-belot-tolak-amalan-rasuah

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin