Undang-undang Perkhidmatan Parlimen diwujudkan adalah manifestasi perasingan kuasa d antara badan Legislatif dengan badan Eksekutif. Dengan adanya undang-undang Perkhidmatan Parlimen, pentadbiran Parlimen mempunyai autonomi institusi, pentadbiran dan kewangannya sendiri.
Malah kewujudan undang-undang Perkhidmatan Parlimen, autonomi akan membolehkan sebuah Suruhanjaya yang mempunyai kuasa membuat perjawatan, penggajian, kenaikan pangkat dan disiplin kakitangan perkhidmatan Parlimennya sendiri.
Malaysia pernah mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang menjadi punca kuasa bagi perkhidmatan Parlimen sendiri. Walau bagaimana pun, undang-undang ini telah dimansuhkan pada tahun 1992.
Lanjutan daripada itu, terdapat pelbagai usaha untuk mengembalikan undang-undang perkhidmatan Parlimen demi memastikan autonomi dan kebebasan Parlimen terpelihara daripada gangguan badan Eksekutif.
Oleh itu, REFORM telah mengambil inisiatif untuk mengkaji mengenai undang-undang perkhidmatan Parlimen dan kepentingannya terhadap autonomi dan kebebasan Parlimen di Malaysia.
Laporan ini turut melihat Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan, undang-undang perkhidmatan Parlimen yang diamalkan di Kanada, Australia, New Zealand dan United Kingdom serta cadangan reformasi model undang-undang perkhidmatan Parlimen baru yang boleh diamalkan di Malaysia.