Secara peribadi saya kurang bersetuju dengan menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Kategori umur ini masih belum bersedia dan kurang kesedaran tentang cara mengundi serta kepentingan sistem demokrasi melalui pilihan raya. Cuba kita lihat kategori umur ini yang berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti awam.
Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah acara tahunan mahasiswa memilih pemimpin mereka melalui proses pilihan raya. Pada tahu 2019, peratusan keluar mengundi di Universiti Malaya sahaja hanyalah 61.2 peratus.[i] PRK di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula pada tahun 2012, peratusan keluar mengundi hanya 43 peratus.[ii] Manakala PRK di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula pada tahun 2011 hanya 50.06 peratus!
Golongan anak muda yang berumur 18 tahun sehingga 23 tahun[iii] inilah yang berada di universiti adalah golongan cerdik pandai yang bakal menerajui barisan kempimpinan negara ini kelak. Sekiranya kesedaran tentang sistem demokrasi, politik dan pilihan raya kampus pun sudah mengecewakan, apakah mereka sudah bersedia untuk benar-benar menjadi Ahli Parlimen di dalam badan perundangan kelak dengan pindaan perlembagaan 2019 yang lalu?
Tindakan menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun adalah tindakan yang popular walaupun reformasi ini merupakan sebahagian daripada Manifesto Pakatan Harapan. Kenapa popular? Ahli politik memerlukan isu atau perkara yang ‘hype’ agar terus dijadikan isu utama dalam berita dan media sosial. Apatah lagi kelompok ini mempunyai jumlah yang besar dan berpotensi menentukan kemenangan kepada mana-mana parti politik dalam pilihan raya umum.
Pengalaman mengajar di IPTA menunjukkan bahawa peratusan pelajar keluar mengundi adalah rendah. Contohnya di sebuah IPTA pada tahun 2018, jumlah mahasiswa di kampus yang turun mengundi hanya mencatatkan 40 peratus sahaja. Justeru Pengurusan Hal Ehwal Akademik (HEA) dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) terpaksa menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan mahasiswa keluar mengundi termasuklah seperti memberikan kupon kolej, makanan percuma, mendapat markah lebih untuk subjek tertentu dan pelbagai cara lagi. Tujuannya adalah bagi memastikan mahasiswa menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan dengan cara ini peratusan mahasiswa mengundi akan meningkat.
Hakikatnya, mahasiswa kurang didedahkan dengan kepentingan mengundi dalam PRK dan tanggungjawab sebagai pengundi. Ketika di sekolah menengah, tiada subjek atau modul yang khusus mengenai pendidikan sivik. Sebab itu mahasiswa keluar mengundi disebabkan insentif dan bukan atas sebab kesedaran. Justeru jangan kita menyalahkan budaya politik di luar apabila orang ramai keluar mengundi disebabkan menerima duit saku, tiket bas dan sebagainya.
Natijahnya dikampus pula apabila kesedaran yang tidak betul diberikan kepada mahasiswa di universiti, maka calon yang menang selalunya yang kacak dan cantik! Oleh itu, sebenarnya kita telah memulakan langkah mendidik demokrasi di kampus dengan langkah yang pincang dengan mengajar mereka bahawa jika kamu mengundi, kamu akan mendapat ‘habuan’ dan ‘insentif’. Ini merupakan budaya politik yang tidak sihat sama sekali.
Selain itu juga kita melihat kemerosotan secara mendadak partisipasi mahasiswa universiti yang menyertai persatuan di dalam kampus. Jika dibandingkan jumlah keseluruhan mahasiswa di universiti dengan jumlah mahasiswa yang menyertai persatuan-persatuan di kampus maka jumlah penyertaan mahasiswa ini tidaklah mencecah 10 peratus. Jumlah majoriti mahasiswa lebih selesa menjadi peserta atau tidak terlibat dengan apa-apa persatuan.
Jika acara berbentuk hiburan dan sukan pasti ramai akan menyertai. Sekiranya melibatkan selebriti dan berbayar, dewan pasti akan dipenuhi dan mudah untuk membuat keuntungan besar. Jika berbentuk ilmiah, wacana dan bengkel, tidak ramai yang ingin menyertai. Walaupun mengundang tokoh akademik, intelektual dan tidak berbayar kepada peserta, acara sebegini dingin dikalangan mahasiswa.
Selepas tamat SPM (umur 17 tahun), belia akan memasuki tiga fasa kehidupan iaitu IPTA/S, Politeknik (Teknikal) atau bekerja terus. Yang pasti hanya sebaagian sahaja yang akan meneruskan ke IPTA/S. Ramai yang akan memasuki Politeknik dan selebihnya bekerja terus.
Apakah tahap kesedaran politik pada umur sebegini? Cuba kita lihat adik-beradik, saudara atau jiran kita yang masih bersekolah. Apa isu yang selalu mereka bincang sesama sendiri? Kartun Ultraman? Bayblade? Ejen Ali?
Bagaimanakah tahap kesedaran dalam kalangan generasi ini diukur? Kebanyakan kajian menunjukkan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda berumur di antara 18 sehingga 25 tahun sangat rendah.
Institut Darul Ehsan (IDE) secara khusus menerusi kajiannya pada Ogos 2019, 25% daripada responden lebih cenderung kepada insentif dalam bentuk hiburan ataupun ganjaran kewangan.
Persoalannya; apakah pertimbangan generasi muda sekiranya hak mengundi ini diberikan kepada mereka? Persoalan ini penting kerana ia akan mempengaruhi bagaimana individu ataupun organisasi politik mengatur orientasi mereka untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan generasi muda.
Beberapa kajian mengenai kesedaran politik belia menunjukkan pada peringkat umur sebegini kesedaran adalah kurang. Umur sekitar 18 ke 25 lebih cenderung kepada aktiviti hiburan dan kesenangan. Golongan ini juga mudah untuk dimanipulasi oleh ahli politik.
Ramai yang berkata kita turunkan umur 18 kerana ikut model negara barat. Di barat, ekonomi mereka maju dan kos hidup mereka agak mewah. Berbanding dengan negara Malaysia, taraf kehidupan kita kurang mewah. Golongan B40 dan M40 menerima kesan paling teruk jika berlaku krisis ekonomi.
Rata-rata pelajar lebih memikirkan diri sendiri dengan mendapat pekerjaan yang bagus, membantu keluarga, naik pangkat, berkahwin, membina kerjaya, mendapat anak, membeli rumah dan banyak lagi. Setelah selesai semua perkara, barulah mereka akan mengambil tahu hal-hal lain.
Pada umur 30 tahun lebih barulah kehidupan mereka stabil dan mula memikirkan masa depan anak dan keluarga mereka. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Ilham Centre terhadap belia pada 2018, mereka mendapati bahawa belia berumur 21 hingga 25 tahun lebih cenderung menikmati (enjoy) kehidupan dan belajar menggunakan wang bantuan PTPTN.
Ini bermakna golongan ini kurang berminat dengan perkara yang serius serta menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Hanya selepas mereka habis belajar dan memasuki pasaran pekerjaan serta berumahtangga, baru mereka merasai kepayahan hidup dan stabil dalam pekerjaan. Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah pun diluluskan. Maka usaha untuk mempersiakan generasi belia yang celik politik perlu dilakukan sekarang oleh setiap pihak.
Aspek pendidikan adalah yang paling penting dengan melaksanakan pendidikan politik seperti demokrasi, pilihan raya, sistem kerajaan, kebebasan media, perlembagaan serta undang-undang. Sepatutnya pihak berkuasa perlu mengadakan kempen kesedaran dikalangan belia sejak sekolah menengah lagi. Perlu juga diadakan subjek atau modul yang berkaitan dengan pendidikan sivik, pendidikan kewarganegaraan, pendidikan politik dan demokrasi.
Socrates pernah berkata bahawa mengundi dalam pilihan raya adalah kemahiran dan bukan berasaskan emosi semata-mata. Kemahiran ini perlu diberi melalui pendidikan secara sistematik kepada rakyat keseluruhan. Membiarkan rakyat mengundi tanpa ilmu politik adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab! Kerana ini akan membahayakan hidup mereka dan kita semua pada masa hadapan.
Akmal Hisham Abdul Rahim
Penyelidik REFORM
[i] Mohd Khairul Anam. (2019, Mac 5). Suara Siswa Ungguli Pilihan Raya Kampus UM. BH Online. Diambil dari https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/03/537619/suara-siswa-ungguli-pilihan-raya-kampus-um
[ii] PIlihan Raya Kampus UNIMAS Kurang Sambutan. (2012, Oktober 2). Borneo Post Online. Diambil dari
[iii] Di Malaysia terdapat Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668). Akta ini mendefinisikan belia adalah mereka yang berumur 15 sehingga 30 tahun sahaja. Umur 18 tahun adalah peringkat umur bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran selepas sekolah menengah. Pada kebiasannya, tempoh pembelajaran lanjutan ini adalah selama 2 ke 6 tahun (STPM, Diploma dan Sarjana Muda).