Malaysia 64 Tahun: Agenda Reformasi Politik dan Demokrasi

Tahun ini negara akan mencapai umur 64 tahun jika mengambil 1957 sebagai permulaan konsep negara bangsa iaitu Malaya dan kemudian bertukar menjadi Malaysia pada tahun 1963. Kemudian Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 dengan undian 126 di parlimen yang menyokong agar perlembagaan diubah. Perubahan akan sentiasa berlaku dan kita sebagai warganegara perlu menilai setiap apa yang terjadi pada negara ini. Akan ada dua sisi iaitu positif atau negatif, namun terpulang kepada setiap individu untuk mentafsir kesannya.

Banyak konflik yang berlaku seperti Singapura dikeluarkan dari Malaysia (1965), Tragedi 13 Mei (1969), Kronfronatasi Indonesia-Malaysia (1962-1966), Demonstrasi Keranda 152 (1967, 2009 dan 2016), Krisis Darurat Kelantan (1977), Tragedi Memali (1985), Operasi Lalang (1987), Krisis Perlembagaan Malaysia (1988), Krisis Kewangan Malaysia (1997), Gerakan Reformasi (1998-1999), Skandal 1MDB (2015-kini), dan Rampasan Kuasa Langkah Sheraton (2020).

Kesemua insiden di atas memberi kesan kepada politik Malaysia secara langsung namun kita secara kolektif akan terus maju ke hadapan sebagai sebuah negara-bangsa. Dalam menuju kehadapan, agenda reformasi perlu diterapkan agar perubahan dan pembaharuan benar-benar berlaku. Amat sedih dan memilukan jika setiap kali konflik politik berlaku, negara mengambil masa yang lama untuk kembali sediakala. Bukankah kita dahulu seringkali diuar-uarkan oleh pemerintah yang Malaysia akan mencapai status negara maju dan ekonomi tinggi! Kini kita memasuki tahun 2021 dan tidak sama seperti yang kita impikan.

Agenda Reformasi Politik Malaysia

Perubahan boleh berlaku secara serta-merta atau mengambil tempoh masa yang lama. Di Malaysia, cara yang terbaik untuk melakukan perubahan yang positif akan mengambil tempoh masa yang panjang. Budaya politik Malaysia amat mementingkan kestabilan dan keharmonian struktur yang sedia ada. Jika ada kumpulan atau gagasan politik yang memaksa perubahan secara mendadak, perubahan yang positif itu tidak dapat diterima secara keseluruhan. Malah akan dianggap sebagai asing dan wajar ditentangi walaupun benar!

Oleh itu gagasan politik memerlukan agenda reformasi yang komprehensif dan pelaksanaan secara konsisten. Idea reformasi perlu terus diserapkan dalam masyarakat dan setiap lapisan sosial yang ada. Cara yang terbaik adalah dengan melakukan pendidikan politik yang menerangkan demokrasi dan sistem politik kenegaraan. Dengan harapan apabila setiap individu mampu melakukan penilaian yang baik, ia akan menjadi satu keputusan yang kolektif dan menghasilkan majoriti yang rasional.

Gerakkan masyarkat madani atau organisasi bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting dalam agenda reformasi ini. Gerakkan kumpulan ini mempunyai kesedaran dan ilmu untuk mendidik rakyat tentang hal-hal kenegaraan agar setiap individu mampu menilai pemimpin negara dan sekaligus ke mana arah tuju yang ingin dibawa oleh mereka.

Setiap lima tahun akan berlangsungnya satu ‘perayaan’ atau ‘pesta’ yang ditunggu-tunggu oleh setiap warganegara iaitu ‘perayaan demokrasi’. Namun tidak semua warganegara mempunyai hak untuk mengundi kerana setiap negara yang mengamalkan demokrasi mempunyai ciri tertentu seseorang warganegara untuk menjadi sebagai pengundi. Di Malaysia, Perkara 119 (1) menyatakan dengan jelas siapakah yang layak menjadi pengundi iaitu mesti berumur 21 tahun ke atas, bermastautin dalam kawasan pilihan raya, dan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (2018) memperlihatkan beberapa agenda reformasi direalisasikan. Antaranya adalah kelayakan untuk mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik. Malah reformasi Parlimen Malaysia memperlihatkan adanya Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah diwujudkan. Situasi ini mencerminkan bahawa agenda perubahan dan pembaharuan kearah yang lebih baik berlaku dan sewajarnya kita mendokong segala usaha yang menjerumus kea rah reformasi.

Penghalang Agenda Reformasi

Akan ada pihak atau kumpulan yang turut berusaha menggagalkan agenda reformasi ini disebarkan kepada masyarakat. Lebih malang mereka turut menunggang arus reformasi ini untuk mendapatkan kuasa dan memanipulasi penghayataan reformasi yang sebenar! Banyak contoh luar negara yang boleh kita ambil pengajaran dan akhirnya kemajuan dan kemakmuran negara tersebut menghadapi masalah yang teruk.

Pihak pemerintah sepatutnya melakukan reformasi secara keseluruhan dan memberi pencerahan pendidikan politik kepada seluruh warganya.Pertandingan secara sihat dalam demokrasi adalah situasi yang ideal dan wajar diraikan oleh setiap parti politik yang menyertai pilihan raya. Kuasa perlu dilihat sebagai alat yang mampu menjaga kestabilan negara dan digunakan untuk kebaikan bersama. Tetapi kuasa boleh menjadikan seseorang pemimpin atau parti politik itu melakukan penindasan. Keadaan sebegini yang menjadi penghalang utama kepada agenda reformasi.

Pengundi yang tidak mempunyai keupayaan untuk menilai dan mudah dipengaruhi dengan harta serta sogokan juga menjadi penyebab reformasi sukar dilaksanakan. Mereka yang berkuasa lebih suka sekiranya pengundi bergantung sepenuhnya kepada pemerintah dan tidak berminat melakukan pendidikan politik. Budaya takut-menakut dan menggunakan ugutan kepada rakyat menjadikan orang ramai takut untuk membicarakan hal-hal berkaitan kenegaraan.

Harapan

Di awal 2021 ini, negara kita telah melalui pelbagai konflik dalaman dan luaran. Wawasan 2020 yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam aspek ekonomi dan teknologi  tidak tercapai. Namun itu tidak sepatutnya menghalang impian kita untuk menjayakan agenda reformasi dan melihat Malaysia lebih gemilang pada masa hadapan. Oleh itu agenda reformasi ini adalah satu usaha yang lama, berpanjangan dan tidak mudah. Akan ada pihak yang cuba memanipulasi pengertian reformasi yang sebenar, tetapi kita harus terus cekal dan memastikan naratif pengertian sebenar difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin