MENGEMBALIKAN PERKHIDMATAN PARLIMEN

Kewujudan institusi Parlimen dengan prinsip kebebasan dan autonomi adalah ciri penting di dalam sistem pemerintahan sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Prinsip kebebasan atau pun boleh dikenali dengan autonomi di dalam konteks Parlimen membawa maksud kuasa dan kewujudan institusi Parlimen di dalam cabang pemerintahan negara tidak boleh diganggu gugat oleh cabang Eksekutif dan Kehakiman. Malahan, badan perundangan ini mempunyai kuasa di dalam menentukan peraturan dan tatacaranya sendiri.

Definisi autonomi dan kebebasan sepertimana di atas ini telah diterima pakai Organization for Security and Cooperation Europe sebagai kunci kepada piawaian tadbir urus yang berhubung kait dengan demokratik. Oleh itu, kegagalan sesebuah negara memberikan kebebasan dan autonomi kepada parlimennya maka ia boleh di anggap sesebuah negara itu tidak demokratik.

Apakah itu Perkhidmatan Parlimen? Mengapakah undang-undang Perkhidmatan Parlimen ini dilihat signifikan? Apakah perbezaan Akta Perkhidmatan Parlimen di Malaysia dengan beberapa undang-undang perkhidmatan Parlimen di negara-negara maju? Persoalan di atas adalah sebahagian isu penting yang berlegar di dalam perkhidmatan parlimen apabila kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan undang-undang Perkhidmatan Parlimen ini semula.

AUTONOMI DAN PERKHIDMATAN PARLIMEN

Parlimen sebagai sebuah institusi yang bebas dan berautonomi seharusnya dilihat bebas dari kekangan kakitangan dan kewangan khususnya dari badan Eksekutif. Ini telah dimandatkan melalui amalan di kalangan negara-negara Komanwel di dalam CPA Recommended Benchmarks for Democratic and Legislatures yang menyatakan bahawa autonomi dan kebebasan ini juga bermaksud badan perundangan boleh mencedok dan meminda tatacara prosedurnya sendiri. Kuasa eksklusif ini termasuklah juga kuasa bagi mengawal kakitangan badan perundangan dan kewangannya.

Pada tahun 2005, di dalam Administration and Financing of Parliament, A Study Group Report yang dikeluarkan oleh Commonwealth Parliamentary Association, CPA dan World Bank Institute menyatakan kebebasan di dalam konteks institusi parlimen boleh di bahagikan kepada tiga tahap iaitu kebebasan institusi, kewangan dan autonomi pentadbiran.

Justeru, apabila menyorot kembali Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Reid pada tahun 1957, bapa Perlembagaan telah memberi perhatian dengan memasukkan cadangan ini di dalam laporannya dengan maksud; mencadangkan penubuhan Parlimen di peringkat Persekutuan yang mengandungi Yang di-Pertuan Besar dan dua dewan; bagi Parlimen yang bebas; yang bergantung kepada kekangan yang terkandung di dalam Perlembagaan.

Intipati kebebasan yang dimasukkan di dalam Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Reid tidaklah didefinisikan di dalam mana-mana laporan yang lain. Walau pun tidak mentafsirkan maksud kebebasan Parlimen dengan terperinci namun dapatlah difahami maksud kebebasan Parlimen di dalam laporan yang ada mungkin juga merujuk sepertimana amalan di negara bapa-bapa kemerdekaan yang mengamalkan sebuah pemerintahan yang demokratik dengan institusi parlimennya mempunyai kawalan sendiri dan bebas dari campur tangan cabang kerajaan yang lain.

SEJARAH PERKHIDMATAN PARLIMEN MALAYSIA

Sejak Pilihan Raya Umum ke-14, Janji 16 Manifesto Pakatan Harapan di bawah Mengembalikan Wibawa Institusi Parlimen adalah mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen semula. Janji kerajaan untuk mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen ini kembali adalah signifikan khususnya pada tahun 2019 memandangkan Parlimen Malaysia akan meraikan sambutan 60 tahun sistem demokrasi berparlimen di Malaysia pada tahun ini.

Sejarah undang-undang perkhidmatan Parlimen di Malaysia telah bermula apabila undang-undang ini telah dibentangkan buat pertama kalinya pada 11 Mac 1963 oleh YAB Perdana Menteri di dalam Dewan Rakyat. Seterusnya, rang undang-undang tersebut dibacakan buat kali kedua dan diluluskan pada 12 Mac 1963.

Kewujudan undang-undang perkhidmatan parlimen di Malaysia ketika itu adalah bertujuan untuk mengawal selia perkara-perkara berkaitan dengan syarat-syarat kelayakan untuk pelantikan, perkhidmatan, kenaikan pangkat dan tatatertib kakitangan di Parlimen.

Dengan kewujudan rang undang-undang perkhidmatan parlimen ini, sebuah Suruhanjaya yang bebas dan berautonomi dibenarkan untuk dibentuk dengan ahli-ahlinya terdiri daripada kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, wakil Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta kakitangan pentadbiran Parlimen iaitu Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Detik hitam pada tanggal 21 Oktober 1992, pindaan Perlembagaan Persekutuan telah meminda peruntukan Perkara 65 dan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837]. Selepas 29 tahun, Akta Perkhidmatan Parlimen yang dahulunya memberikan kuasa kebebasan kepada Parlimen telah dimansuhkan. Peruntukan asal dalam Perkara 65(4) yang menyebutkan tentang perkhidmatan parlimen telah dipinda dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan yang lain termasuk Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan;

“(4) Kecuali sebagaimana seperti yang diperuntukkan dengan nyata selainnya oleh Perkara ini, kelayakan untuk pelantikan dan syarat-syarat perkhidmatan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat, dan anggota kakitangan Majlis-majlis Parlimen, bolehlah dikawal selia oleh undang-undang persekutuan.”

Hakikatnya, peruntukkan inilah yang menjadi punca kuasa kepada kewujudan Akta Perkhidmatan Parlimen ketika itu hinggalah ia dimansuhkan kewujudannya. Justeru, wujud persoalan sama ada untuk mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen ini kembali akan memerlukan pindaan Perlembagaan di bawah Perkara 65(4), Perlembagaan Persekutuan.

Jika Perlembagaan Persekutuan memerlukan pindaan maka sokongan dua pertiga iaitu 149 orang ahli-ahli di dalam Dewan Rakyat diperlukan. Proses di bawah Perkara 159, Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan sokongan dua pertiga di dalam Dewan Negara diperlukan. Laluan untuk memberikan ruang pindaan ini sekali imbas seolah-olah  nampak mudah walau sebenarnya sedikit sukar.

Masakan tidak, kerajaan Pakatan Harapan hampir pasti mendapat sokongan dua pertiga di dalam Dewan Rakyat memandangkan terdapat pelbagai ahli pembangkang yang lompat parti politik namun di dalam Dewan Negara majoriti ahli Dewan masih lagi memihak sokongan kerajaan terdahulu.

PERKHIDMATAN PARLIMEN: MODEL BARU MALAYSIA

Idea mewujudkan Akta Perkhidmatan Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Keperluan menggubal suatu akta perkhidmatan parlimen yang baru dan moden ini telah mula dibincangkan sejak tahun 2005 sama ada dari pembangkang mahu pun penyokong kerajaan apabila ketua whip kerajaan ketika itu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyokong di dalam perbahasannya kewujudan Perkhidmatan Parlimen.

Hal ini menjadi semakin penting apabila perbincangan mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen ini semula turut dibuat pada tahun 2016 sebagai sebahagian agenda di dalam Transformasi Parlimen oleh Yang Berhormat Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika itu.

Di pelbagai negara yang menyimpul kukuh kebebasan parlimen dan undang-undang perkhidmatan parlimen, akta spesifik di dalam perkhidmatan parlimen adalah sebahagian kuasa yang mempekukuhkan prinsip kebebasan dan autonomi institusi parlimen ini. Undang-undang Perkhidmatan Parlimen dengan pelbagai kepentingan dan bentuk ini dikenali dengan pelbagai nama seperti di Australia, New Zealand, United Kingdom, India dan sebagainya. Antara undang-undang ini turut dikenali dengan nama seperti New Zealand Parliamentary Service Act 2000, House of Commons Administration Act 1978, Parliamentary Service Act 1999, Australia and Lok Sabha Secretariat (Recruitment & Conditions of Service) Rules 1955.

Bagi menjamin kebebasan dan autonomi perkhidmatan parlimen di sebahagian negara-negara Komanwel ini, ada negara yang mengambil inisiatif mengkanunkan di dalam Perlembagaan bagi menjamin kebebasannya. Ini dapat dilihat model yang digunakan oleh negara seperti India. Sekiranya kebebasan Parlimen itu tidak dikanunkan di dalam perlembagaan di sesebuah negara itu secara tidak bertulis maka ia memerlukan sebuah Akta yang spesifik untuk diwujudkan. Model negara seperti United Kingdom, New Zealand dan Kanada menyediakan kewujudan sebuah badan korporat yang memberikan kuasas kepada institusi Parlimen dengan hartanah, kakitangan dan perkhidmatan yang diperlukan.

Selain itu, ciri penting di dalam perkhidmatan parlimen moden adalah kewujudan peruntukkan ciri penting perkhidmatan parlimen dengan terang dan jelas menyatakan bahawa perkhidmatan ini bukanlah sebahagian daripada Eksekutif. Ini penting bagi menjamin prinsip kebebasan dari kuasa Eksekutif dan ia boleh dicedok daripada pelbagai contoh akta di negara-negara Komanwel seperti di dalam sekyen 9, Akta Perkhidmatan Parlimen 1999, Australia dan peruntukan sepertimana di dalam Perlembagaan India.

Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen

Antara salah satu ciri penting di dalam undang-undang Perkhidmatan Parlimen adalah kewujudan sebuah Suruhanjaya bebas yang mentadbir dasar institusi Parlimen. Sebelum Akta Perkhidmatan Parlimen Malaysia dimansuhkan pada tahun 1992, Jawatankuasa Penasihat Perkhidmatan Parlimen di bawah seksyen 5 telah diwujudkan manakala di beberapa buah negara Komanwel mengguna pakai pelbagai bentuk dan nama seperti Suruhanjaya Perkhidmatan House of Commons, United Kingdom, Pesuruhjaya Perkhidmatan Parlimen di Australia pula mengguna pakai dua topi di mana pegawai ini juga merupakan Pesuruhjaya Perkhidmatan Awam Australia sepertimana di bawah seksyen 39 dan seksyen 40.

Tugas dan tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ini berhubung dengan perkara-perkara seperti pembentukan jawatan di dalam perkhidmatan parlimen, jumlah jawatan yang dibentuk dan diperlukan di dalam perkhidmatan parlimen, kelayakan untuk perlantikan jawatan yang dibentuk, penentuan gaji dan tangga gaji, elaun dan faedah-faedah lain yang ditentukan berdasarkan jawatan yang dibentuk di dalam perkhidmatan parlimen dan kewangan untuk Parlimen Malaysia.

Keanggotaan Suruhanjaya Perkhidmatan House of Commons, United Kingdom pula terdiri daripada Speaker House of Commons, Ketua Dewan, Ketua Pembangkang atau wakil pembangkang, 3 parti politik terbesar yang terdapat di dalam Dewan, Setiausaha Dewan, Ketua Pengarah House of Commons, dan dua orang wakil yang dilantik dari luar khususnya mereka yang mempunyai pengalaman berhubung dengan Dewan. Pada masa yang sama, keanggotaan Lembaga Eksekutif di House of Commons terdiri daripada Ketua Pengarah House of Commons, dan ahli-ahli lain.

Adalah munasabah sebagai sebuah institusi yang dipilih oleh rakyat maka sebuah Suruhanjaya bebas ini mengguna pakai konsep kebertanggung jawaban kepada rakyat. Ini boleh dibuat dengan melantik dua orang wakil luar yang terdiri daripada rakyat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas di dalam kerangka institusi Parlimen.

KEWANGAN INSTITUSI PARLIMEN

Aspek penting di dalam membicarakan isu autonomi perkhidmatan juga meliputi aspek kewangan mendanai institusi Parlimen. Kebanyakan negara-negara di dunia mengguna pakai kaedah collaborative model dengan belanjawan ditentukan secara bersama dengan pihak Eksekutif.

Kaedah collaborative model adalah belanjawan perbelanjaan institusi parlimen akan disediakan oleh kakitangan pentadbiran parlimen dan selepas itu akan disaring Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Majlis aParlimen sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen untuk disampaikan kepada Menteri Kewangan.

Ini dapat dilihat di dalam Akta House of Commons Administration 1978,  United Kingdom. Suruhanjaya Pentadbiran House of Commons mempunyai tanggungjawab di bawah perkhidmatan parlimen untuk menyediakan dan membentangkan perbelanjaan dan sumber yang diperlukan di dalam Dewan. Manakala, di dalam Peraturan Mesyuarat 222A, Committee Appropriation and Administration, Australia, dan seksyen 52(4) Parliament of Canada Act 1985 yang menyatakan bahawa Lembaga Parlimen mesti menyediakan perbelanjaan yang diperlukan oleh Parlimen.

RUMUSAN

Kewujudan rang undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen di Malaysia yang bakal diwujudkan kembali ini seharusnya digarap dengan versi yang lebih baik khususnya memberi penekanan kepada prinsip autonomi institusi, kewangan dan pentadbiran yang telah digariskan di dalam laporan Administration and Financing of Parliament, A Study Group Report yang telah dikeluarkan oleh Commonwealth Parliamentary Association, CPA and World Bank Institute pada tahun 2005.

Selain itu, nilai-nilai baik termasuklah menunjukkan pemisahan kuasa yang jelas perkhidmatan parlimen dengan badan Eksekutif sepertimana di Australia dan India wajar dipertimbangkan agar perkhidmatan ini dibezakan dengan perkhidmatan awam di dalam Akta baru.

Kaedah collaborative model pula dengan sumber dari Wang Yang di-Satukan adalah kaedah yang diguna pakai negara-negara lain di mana institusi Parlimen perlu didanai dari sumber kerajaan memandangkan institusi rakyat ini bukan berorientasi keuntungan untuk beroperasi.

Akhirnya, selepas Akta Perkhidmatan Parlimen di Malaysia ini hilang sejak 27 tahun yang lalu, usaha mewujudkan kembali undang-undang ini ibarat sirih pulang ke gagang. Ia menjadi penantian bukan sahaja kepada ahli-ahli Parlimen dan kakitangan institusi Parlimen malahan kepada orang luar dan masyarakat madani yang dahagakan kebebasan sebuah institusi Parlimen unggul yang sama taraf dengan mana-mana negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

PANEL PENYELIDIK REFORM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top